Resepi Shellout Versi TWJ Yang Sedap

Hai semua. Rasanya tak pernah lagi saya kongsikan resepi berkaitan makanan laut seperti udang dan sotong. Jadi, hari ini saya akan kongsikan resepi shellout versi TWJ yang sedap.

Sebenarnya shellout ni pernah tular di media sosial dan adik saya dah lama teringin nak makan. Setelah sekian lama, akhirnya kami berpeluang untuk sediakan shellout di rumah. 

Kami hanya gunakan beberapa makanan laut, iaitu ketam, udang dan sotong. Kalau anda nak tambah makanan laut yang lain pun boleh. Dari segi penyediaan, boleh pilih sama ada nak rebus atau stim. Kami pilih stim sebab nak kekalkan kemanisan makanan laut tu.

Untuk resepi pula, kena sesuaikan dengan kuantiti makanan laut yang digunakan. Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahan
(Semasa stim makanan laut, pastikan anda simpan air yang terhasil untuk digunakan nanti.)
Ketam-distim
Udang-distim
Sotong-distim
Brokoli-distim
Bunga kubis-distim
Jagung-distim
4 sudu bawang kisar (bawang merah, bawang putih & bawang besar)
2 batang serai-diketuk
Lada kering kisar-ikut tahap kepedasan yang diingini
Sos tiram-secukupnya
Sos cili-secukupnya
Air perahan lemon-secukupnya
Stok udang-secukupnya
2 helai daun limau purut
Sos ikan-secukupnya
Minyak masak

Cara memasak
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan serai dan biarkan seketika.

2. Masukkan bawang kisar dan lada kering kisar.

3. Masukkan sos tiram dan sos cili lalu kacau.

4. Setelah bahan tumis garing, masukkan air perahan lemon. 

5. Masukkan sedikit air yang terhasil daripada makanan laut yang distim (bakinya akan dimasukkan nanti).

6. Masukkan stok udang lalu kacau dan biarkan seketika.

7. Masukkan baki air yang terhasil daripada makanan laut yang distim. Biarkan seketika lalu masukkan daun limau purut.

8. Masukkan sos ikan dan kacau.

9. Masukkan ketam, udang dan sotong yang sudah distim. Kacau hingga sebati.

10. Masukkan brokoli, kubis bunga dan jagung lalu kacau.

11.Tutup api dan hidangkan shellout.

Shellout Versi TWJ

Shellout Versi TWJ

Sebenarnya, shellout ni ada banyak versi untuk kuahnya. Yang saya kongsikan di atas tak tahulah apa namanya sebab kami ikut suka hati je. Garam memang tak diletakkan sebab dah cukup rasa masin. Kalau anda rasa tak cukup lagi, boleh je tambahkan garam.

Shellout ni lagi seronok kalau makan di rumah dengan keluarga sebab dapat makan banyak dan boleh tentukan kuantiti bagi setiap makanan laut mengikut citarasa kita. 

Kepada yang sukakan shellout, jangan lupa untuk cuba resepi ini. Selamat memasak.

*Versi video ada di YouTube The Wonderful Jannah

Comments

  1. Terima kasih Jannah, boleh naim try nanti. :)

    ReplyDelete
  2. Wah. Nanti boleh akak try. Thanks kongsikan resepi.

    ReplyDelete
  3. Wuihh... shellout bikin sendiri tuu, canggih JR 😎👍🏻

    ReplyDelete
  4. Pergh!! Sedap.. nampak mudah dan menarik untuk dibuat..

    ReplyDelete
  5. tq Jannah for sharing.
    nanti aida terjah ke YouTube.

    aida tak pernah ber shell out di rumah.
    kurang makan seafood yg masih bercangkerang.
    terutama ketam. udang plak, kami elergi :(
    itu yg menghalang...
    normally makan kat luar je. so, anak2 la yg makan.
    aida & asben more to sotong je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau masak sendiri, lagi senang nak pilih seafood apa yang kita nak kan, kak.

      Delete

Post a Comment