Resepi Nasi Minyak Ala Kenduri Kahwin

Hai semua. Dalam entri kali ini, saya akan kongsikan resepi nasi minyak ala kenduri kahwin.

Nasi minyak memang antara hidangan yang sering kita jumpa di kenduri kahwin, kan. Namun, sudah lama rasanya tidak ke kenduri kahwin kerana situasi semasa.

Oleh itu, adik saya dan saya pun cuba masak nasi minyak sendiri di rumah.

Jom kita lihat resepi nasi minyak versi kami.

Bahan-bahan untuk nasi
Beras-dicuci & direndam dalam air
1 biji bawang besar-dihiris
5 buah pelaga, 3 bunga lawang, 1 kulit kayu manis, 7 cengkih
1 inci halia-dihiris
1 sudu mentega
2 helai daun pandan-disimpul
1 1/2 cawan susu cair
Garam-secukupnya
Air-secukupnya
Pewarna makanan warna kuning
Minyak masak

Bahan-bahan untuk ayam
Ayam
4 biji bawang merah-dikisar
6 ulas bawang putih-dikisar
1 biji bawang besar-dikisar
10 sudu lada kering kisar
1 inci halia-dikisar
1 1/2 inci lengkuas-dikisar
1/2 biji bawang besar-dihiris
2 batang serai-diketuk
Air asam jawa-secukupnya
Gula kabung-secukupnya
Sos tiram-secukupnya
Sedikit air
Garam-secukupnya
Minyak masak

Bahan-bahan untuk acar
1 biji lobak merah-disagat
4 biji timun kecil-dihiris nipis
Garam-secukupnya
Gula-secukupnya
Cuka-secukupnya

Cara memasak nasi
1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan mentega.

2. Setelah mentega cair, masukkan rempah 4 sekawan.

3. Masukkan bawang besar dan halia. Kacau seketika lalu masukkan daun pandan.

4. Apabila bawang sudah layu, tutup api.

5. Masukkan beras ke dalam periuk nasi.

6. Masukkan bahan tumisan, susu cair, garam dan air ke dalam periuk nasi lalu masak nasi seperti biasa.

7. Setelah nasi siap dimasak, gunakan penyepit untuk buat lubang dan tuangkan pewarna makanan. Biarkan seketika sebelum gaul hingga sebati.

8. Hidangkan nasi yang sudah siap dimasak.

Cara memasak ayam
1. Panaskan kuali dan masukkan ayam. Goreng ayam sehingga separuh masak dan ketepikan.

2. Masukkan serai ke dalam minyak lebihan menggoreng ayam.

3. Masukkan hirisan bawang besar. Tumis sehingga layu.

4. Masukkan bahan kisar lalu kacau.

5. Setelah bahan tumisan garing, masukkan air asam jawa dan kacau.

6. Masukkan gula kabung dan sos tiram. Kacau hingga sebati.

7. Masukkan air dan garam lalu kacau.

8. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau seketika.

9. Hidangkan ayam masak merah bersama nasi dan acar.

Cara menyediakan acar
1. Masukkan timun, lobak dan wang besar ke dalam satu bekas.

2. Masukkan garam, gula dan cuka lalu gaul hingga sebati.

3. Hidangkan acar bersama nasi dan ayam.

Nasi Minyak Ala Kenduri Kahwin


Untuk nasi minyak ni, ada tiga elemen, iaitu nasi, ayam masak merah dan acar. Acar yang paling mudah untuk disediakan dan ayam masak merah yang paling susah.

Tak ingat pula berapa lama proses memasak. Tapi disebabkan kami masak berdua, kurang sikitlah masa memasak dan beban kerja.

Kepada sesiapa yang rindu nasi minyak di kenduri kahwin, bolehlah cuba masak nasi minyak menggunakan resepi dari TWJ.

Jumpa lagi.

*Kalau nak tonton versi video, boleh ke YouTube The Wonderful Jannah.

Baca resepi yang lain:

Comments

  1. Boleh cuba niiii .. nampak sedap nau

    ReplyDelete
  2. Wah...akak x pandai masak nasi minyak...bila nak belajar x tau la

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun tak tahu sangat, Kak SA. Tolong adik saya je.

      Delete
  3. saya juga lama tak makan nasi minyak hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang jarang dah makan nasi minyak sekarang ni kan.

      Delete
  4. sedap ni..boleh kak shida test masak nnt..tq sharing resepinya :)

    ReplyDelete
  5. Aduh.. aduh.. lama tak makan nasi minyak.. perkongsian yang ohsem..

    ReplyDelete

Post a Comment