Review Mini Novel Bukan Roommate Biasa Karya Syamnuriezmil

Hai semua. Kita bertemu lagi dalam entri review novel. Dalam entri kali ini, saya akan review mini novel Bukan Roommate Biasa karya Syamnuriezmil.

Mini novel ni saya beli sekali dengan Mr. Groom. Saya nak lengkapkan koleksi novel Syamnuriezmil tapi beli sikit-sikitlah. Belum mampu lagi nak borong semua sekaligus😂.

Kalau tak silap, cover novel ni yang baru dan novel ini merupakan cetakan kedua. Dah lama rancang nak beli novel ni sebab tertarik dengan tajuknya tapi asyik tertangguh je. Akhirnya tercapai juga pada tahun 2022 ni.

Mari kita baca review saya.

Bukan Roomate Biasa Karya Syamnuriezmil

Judul: Bukan Rommate Biasa
Penulis: Syamnuriezmil
Genre: Cinta
Tahun terbitan: 2019
Penerbit: The Chapter Bookstore
Harga: RM 26
Mukasurat: 316

Review:
Mini novel Bukan Roommate Biasa ini agak santai jalan ceritanya. Untuk novel ini, Syamnuriezmil memasukkan elemen mimpi yang menjadi realiti. Macam pelik je kan apabila apa yang kita mimpikan menjadi realiti.

Tak tahu macam mana tiba-tiba je Nurul Ayraa termimpikan tentang Daris Fahim dan mimpinya bersambung-sambung. Siap ada watak tambahan lagi. Tapi ada sedikit perbezaan untuk watak Sophie dan Haris. Sophie merupakan tunang kepada arwah Haris, kawan Daris.

Kemudian, Ayraa dihubungi oleh Daris yang sedang mencari rumah sewa. Walaupun pada awalnya Ayraa macam malas nak layan Daris, akhirnya mereka berkawan. Namun, ada syaratnya. Mereka tidak boleh bertanya tentang nama masing-masing. Hanya boleh berhubung melalui telefon dan Ayraa dikenali sebagai Cik Ucu.

Apabila lelaki yang sama muncul sebagai auditor di syarikat Ayraa bekerja, Ayraa sungguh terkejut dan dia mengambil keputusan untuk merahsiakan identitinya. Memang kelakar apabila Ayraa terpaksa menjawab panggilan Daris secara sembunyi ketika dia berada di luar sebagai assistant Daris.

Tapi yang paling kelakar ialah Ayraa ni asyik tidur je sampai termimpi-mimpikan Daris. Semasa waktu rehat di pejabat pun boleh termimpikan Daris.

Salah satu daya tarikan novel ini ialah watak Fatin, iaitu anak saudara Ayraa. Memang sangat petah bercakap dan Fatin lah yang tanpa sengaja telah mendedahkan identiti Ayraa kepada Daris.

Mini novel ni ada konfliknya tapi konflik kecil je. Tak perlu pening kepala fikirkan plot twist yang mungkin ada.

Pengajaran:
- Menerima ketentuan takdir. Daris menerima takdir yang tertulis bahawa Sophie bukanlah jodohnya.
- Jujur dalam persahabatan. Ayraa sepatutnya berterus-terang tentang identitinya untuk mengelakkan konflik di kemudian hari.
- Berusaha untuk mencapai matlamat. Daris melakukan pelbagai usaha untuk memenangi hati wanita yang dicintai.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 8.5/10 bintang kepada mini novel ini. Sangat sesuai untuk bacaan santai kerana isu yang diketengahkan tidak terlalu berat. Cuma bagi saya daya tarikannya tidak sehebat karya Syamnuriezmil yang pernah saya baca sebelum ni. Namun, tetap berbaloi untuk dibaca. 

Comments

Post a Comment